SUKA BLOG INI?

Followers

Friday 24 April 2009

BAHAYA KETIKA TIDUR

"Biasa la kalau lelaki berdengkur, kalau perempuan memang buruk."

Itu kata-kata yang sering kita dengar apabila berbicara tentang dengkur. Lelaki secara umumnya mengangapnya sebagai sesuatu yang tidak perlu digusarkan, namun kaum hawa pula merasakan adalah sesuatu yang memalukan sekiranya mereka berdengkur.

Tidur bersebelahan seorang yang kerap berdengkur memang menyebabkan kita terganggu. Apatah lagi jika dengkurannya terlalu kuat hingga sukar untuk melelapkan mata. Jangan ambil mudah perkara ini, sebenarnya dengkur juga boleh menjadi petunjuk kepada beberapa penyakit.

Kepada para isteri yang mempunyai suami yang tidur berdengkur, sekiranya anda mendapati dengkuran mereka berkurangan tetapi bertambah kuat dan hanya muncul sesekali selepas satu tempoh, anda seharusnya berasa bimbang. Ini kerana, dengkuran kuat merupakan salah satu tanda suami anda mungkin menghidap Apnea tidur akibat salur pernafasan terhalang (OSA).

OSA merupakan suatu keadaan di mana penghidapnya berhenti bernafas untuk suatu ketika ketika tidur. Kebiasannnya, pengidap tidak akan menyedari mereka menderitai penyakit ini. Terdapat banyak kes di mana pesakit hanya mengetahui mereka mengidapnya selepas bertahun-tahun menderita.

Kebarangkalian penyakit ini berlaku lebih tinggi pada mereka yang mengidap obesiti, asma, penyakit jantung dan kerap mengambil minuman keras. Selepas OSA dikesan, ia seharusnya dirawat dengan segera kerana ia boleh membawa kesan jangka panjang yang amat buruk, malah boleh membawa maut, walaupun jarang berlaku.


MEREHATKAN BADAN
Ketika tidur, badan manusia menggunakan kesempatan ini untuk berehat dan ´mengecas semula tenaga´ untuk kegiatan lain selepas bangun nanti. Namun, bagi penghidap penyakit ini, badan menjadi semakin letih selepas tidur kerana anggota-anggota penting seperti otak, buah pinggang, hati dan sebagainya tidak menerima bekalan oksigen secukupnya akibat sistem pernafasan yang terhenti.

Akibatnya, sel-sel otak akan mula mati kerana tidak menerima oksigen, dalam jangka masa panjang akan memudaratkan pengidapnya, terutamanya jika dia lebih kerap berhenti bernafas semasa tidur.

Sekiranya ini berlaku, pesakit berdepan dengan kemungkinan diserang strok atau penyakit jantung ketika tidur, meskipun mereka sebenarnya tidak mengidap kedua penyakit tersebut.Penghidap OSA biasanya berhenti bernafas dalam tempoh yang singkat, antara 10 hingga 30 saat sahaja, namun ia berlaku berulang-ulang kali. Rekod perubatan negara ini menunjukkan ada pengidap yang berhenti bernafas hingga 180 kali semalam.

Akibatnya, bunyi dengkur ini akan menjadi lebih kuat dan tiba-tiba akan terhenti untuk seketika akibat pernafasan telah terhenti berikutan saluran pernafasan dihalang (tertutup). Satu kajian pada tahun 2005 oleh menunjukkan kira-kra 3 juta penduduk negara ini, mempunyai simptom penyakit ini diperingkat awal tanpa menyedarinya, kebanyakannya lelaki. Kebanyakan mereka yang tergolong dalam kajian tersebut didapati mengamalkan gaya hidup yang tidak sihat dan mempunyai Indeks Jisim Badan (BMI) melebihi 35.


DENGKUR
Bunyi dengkur terhasil akibat getaran udara yang cuba menembusi halangan pada salur pernafasan ketika menarik nafas.

Dengkur terhasil daripada tisu lembut di dalam tekak yang bergetar apabila salur pernafasan menjadi lebih sempit kerana terhalang, sama ada secara semula jadi atau sebaliknya, seterusnya menyebabkan kelajuan dan tekanan udara semakin meningkat di kawasan tersebut.
Halangan pada salur berkenaan mungkin berpunca daripada beberapa sebab, sama ada diwarisi atau berpunca daripada masalah lain. Pengambilan ubat tidur dan penenang dalam bentuk lain juga boleh menyebabkan tisu tertentu mengendur dan menghalang laluan sistem pernafasan kita. Selain itu, tisu di sekitar tekak juga boleh dipenuhi lemak akibat berat badan berlebihan yang akan menyebabkan salur udara mengecil dan sempit. Saluran pernafasan melalui hidung juga boleh tersekat disebabkan alahan, demam selesema, resdung dan sebagainya yang akhirnya menyebabkan berlakunya getaran yang menyebabkan dengkur.

Masalah dengkur dihidapi tidak mengira usia dan jantina dengan terdapatnya sebilangan kes di kalangan kanak-kanak. Dianggarkan 32 peratus golongan lelaki dewasa dan 14 peratus golongan wanita dewasa turut menghidap dengkur. Ada juga pakar yang berpendapat struktur tulang muka turut meningkatkan risiko halangan salur udara, termasuklah tulang rahang atas dan bawah yang tidak selari, seperti rahang bawah yang lebih pendek atau lebih kecil sehingga menyempitkan saluran pernafasan.

Selain OSA, terdapat juga jenis Apnea lain seperti Apnea tengah di mana otot bahagian dada dan diafram berhenti bergerak seterusnya menyebabkan nafas terhenti secara tiba-tiba serta Apnea campuran yang juga dikenali sebagai Apnea kompleks iaitu keadaan di mana penghidap mengalami kedua-dua apnea.

OSA mencatatkan kes tertinggi iaitu lebih 84 peratus, 0.4 peratus untuk Apnea Tengah sementara 15 peratus lagi adalah kes Apnea Campuran. Selain itu, terdapat juga Hypopnea, iaitu keadaan di mana berlakunya penurunan sehingga 50 peratus jumlah udara yang masuk ke paru-paru dalam setiap nafas.


RAWATAN
Antara teknik rawatan terkini bagi penyakit ini ialah dengan alat SomnoGuard yang merupakan sejenis alat menggerakkan mandibular (MAD), secara ringkas ia menggerakkan tulang rahang bawah ke depan supaya selari dengan rahang atas.

Ini akan menggerakkan tisu dan lidah yang sering menghalang salur pernafasan ke depan dan membuka semula laluan udara ketika tidur, sekaligus mengurangkan dengkur. Kaedah lain ialah dengan menggunakan alat Tekanan Salur Udara Positif Berterusan Nasal (n-CPAP). Menerusi kaedah ini, oksigen dipaksa masuk ke paru-paru menggunakan tiub di hidung.Cara rawatan ini digunakan dengan andaian rahang pesakit adalah selari. Tekanan udara yang tinggi pula digunakan untuk membolehkan udara menembusi halangan yang terbentuk. Bagaimanapun, ia menyebabkan pesakit merasa tidak selesa dan kering tekak apabila bangun tidur.

Kaedah yang lebih murah ialah menggunakan peranti mulut. Rawatan ini menggunakan penjaga mulut, biasanya diperbuat daripada plastik, untuk mengekang rahang atau lidah ke hadapan, dengan itu memastikan saluran pernafasan sentiasa terbuka. Namun, ia menyebabkan si pemakainya merasa tidak selesa kerana terpaksa memakainya setiap kali tidur. Pesakit juga boleh memilih untuk menggunakan ubat-ubatan untuk menggalakkan pernafasan seperti theophylline, aminophylline, atau caffeine.

Namun, adalah lebih mudah bagi mencegah penyakit ini, iaitu dengan mengubah cara hidup lebih sihat melalui pemakanan seimbang dan senaman juga dapat membantu masalah OSA, terutamanya bagi kanak-kanak. Elakkan pengambilan alkohol dan merokok serta dapatkan rawatan segera untuk alahan, demam selesema atau resdung supaya tidak membawa kepada masalah ini.

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih di atas COMMENT anda, sila singgah lagi ye....

 

Popular Posts