NAK BUAT BISNESS... JOM KLIK

SUKA BLOG INI?

ONE DROP PERFUMES

Followers

Tuesday, 8 February 2011

Kenapa pasangan suami isteri tidak serasi?

Apabila perkahwinan sudah menjangkau enam bulan, salah dan silap sesuatu pasangan akan mula diungkit, padahal sebelumnya dibiarkan sahaja, konon masih baru. Lalu suami yang tidak senang hati dengan sikap isteri, cuba menasihati isterinya begitu dan begini. Percayalah ketika itu, nasihat suami sudah tidak bernilai lagi, sebaliknya isterinya menjawab, “dulu tak salah, kenapa baru sekarang salah?”

Ternyata pasangan itu memang sudah tidak serasi. Tetapi demi cinta, mereka tetap mengharungi rumah tangga walaupun dalam keadaan tidak selesa. Walaupun dalam tidak selesa itu, mereka tetap menikmati saat-saat kebahagiaan rumah tangga. Anihnya dalam keadaan benci, isteri tetap mengandung dan mereka terus dikurniakan anak.

Sebab itulah kadang-kadang, kita rasa hairan dan terkejut apabila dalam diam-diam pasangan itu dikatakan bercerai. Lalu orang ramai pun berkata, “kenapa la bercerai, kesian anak terpaksa berpisah dengan ibu atau bapa.” Kita hairan kenapa setelah lama berkahwin, masih tidak temui serasinya.

Itu kata kita, tetapi sebenarnya mereka berdua sudah lama menderita. Namun hati kecil mereka masih ada harapan. Maka walaupun menderita, hidup masih diteruskan di samping mencari penawarnya. Tetapi apabila sampai kemuncak masalah dan penyelesaian masih tidak ditemui, perceraian terpaksalah dipilih.

Sebenarnya mereka sudah menyedari ketidakserasian itu sejak awal pernikahan mereka, namun mereka gagal untuk merawatnya dengan baik. Tetapi percayalah isu ini masih belum terlewat untuk dirawat.

Sebenarnya isu tidak serasi ini hanya ibarat retak mencari belah. Sebab itu jika pasangan yang terlibat tidak dapat mengesan ketidakserasaian itu lebih awal, perceraian boleh berlaku bila-bila masa sahaja. Jadi, beruntunglah mereka yang berusaha mencari punca penyebabnya.

Sebenarnya punca tidak serasi itu bermula daripada tidak serasinya iman pasangan tersebut. Mungkin suami kuat imannya, tetapi isteri lemah imannya. Apatah lagi kalau kedua-dua mereka tidak ada iman. Hakikatnya mereka tidak meletakkan Allah di dada mereka.

Percayalah mereka yang ada iman, pasti akan takut kepada Allah, iaitu takut untuk melakukan dosa, takut untuk melakukan zalim kepada orang lain apatah lagi isteri dan anak-anaknya. Begitu juga kalau isteri beriman, sudah pasti dia akan takut untuk menderhakai suaminya, dan akan takut untuk meminta cerai daripada suaminya.

Selain itu pasangan yang beriman itu akan melakukan solat lima waktu dan sunat-sunatnya. Malah mereka yang taat solat, akan berasa tenang sewaktu berhadapan dengan pasangan. Malah jika sesekali mereka berkesempatan melakukan solat berjemaah, pasti hati pasangan itu mudah disatukan Allah.

Percayalah apabila pasangan itu boleh berasa takut kepada Allah, dan dapat pula mendirikan solat dengan sempurna, bibit perceraian tidak akan terjadi. Keserasian pasti akan diperoleh oleh pasangan tersebut semasa berkahwin bahkan sampai bila-bila.

Sungguh pun begitu, jumlah golongan ini tidak ramai. Di sana sini kita temui mereka yang lemah iman, buktinya ramai yang tidak melakukan asolat dengan sempurna, dan ramai juga suami yang takut kepada isteri. Mereka ini kalau pun kelihatan seperti serasi, tetapi hakikatnya mereka mahu hidup secara bebas, berseronok suka dalam kancah dosa dan maksiat.

Peranan Suami Didik Isteri
Mana-mana pasangan yang boleh mengekalkan iman dan taqwa dan boleh melaksanakan solat dengan sempurna, pasti suami dan isteri mampu berperanan dalam rumah tangga seperti yang diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w. Inilah pasangan yang serasi malah boleh berkekalan sehingga ke dalam syurga.

Suami dalam keadaan ini perlu berperanan sebagai pendidik selain memimpin isteri ke jalan yang selamat. Maknanya pada malam pertama perkahwinan mereka, suami perlu menjelaskan pantang larang yang perlu isteri taati. Dalam pada itu kalau isteri tersalah dan tersilap, segeralah menegurnya dengan penuh hikmah.

Isteri juga perlu diingatkan agar sentiasa mematuhi kehendak suami dan meminta izin sebelum melakukan sesuatu pekerjaan yang luar jangkaan. Peringatan ini penting dalam membina kehamonian rumah tangga. Semua ini akan memudahkan suami memimpin isteri ke arah jalan yang bahagia.

Manakala rumahtangga yang telah didapati tidak serasi perlulah menamatkan sengketa itu dengan saling memaafkan kesalahan masing-masing. Percayalah setelah kedudukan telah menjadi kosong-kosong, suami bolehlah membuat penjenamaan baru dengan menyenaraikan garis panduan, pantang larang seperti yang dinyatakan di atas.

Ingatlah selagi mereka mampu mengikut garis panduan dan pantang larang yang ditetapkan Allah dan Rasulullah, mereka akan terdorong ke arah hidup yang bahagia selama-lamanya.

Ditulis oleh Ahmad Baei Jaafar (TQ for sharing)

"JOM Seiring Sejalan"

1 comment:

Terima Kasih di atas COMMENT anda, sila singgah lagi ye....

 

Popular Posts