SUKA BLOG INI?

Followers

Wednesday, 21 October 2009

TIADA ISTILAH "BOHONG SUNAT"

Siakap senohong gelama ikan duri, bercakap bohong lama-lama mencuri...

Masih ingatkah lagi pantun lama ini? Sejak kecil, kita sering diajar bahawa bohong adalah perbuatan yang tidak baik atau dalam istilah yang paling mudah difahami, “bohong itu jahat”. Namun dalam kehidupan seharian, terutamanya bagi orang dewasa, bohong kadangkala menjadi suatu perkara yang biasa yang tidak dapat dielakkan. Namun, betulkah kita memang tidak dapat mengelak daripada berbohong?

Mengapa berbohong? Jawapan yang paling tepat, kerana mahu menyelamatkan diri sendiri daripada sesuatu keadaan! Yang biasa berlaku, kita tersepit dalam sesuatu situasi dan situasi itu berlaku kerana kelalaian atau kesalahan sendiri. Sekiranya kesulitan itu berlaku kerana kesilapan orang lain, tentulah kita tidak berbohong kerana kita dapat mencari pihak lain untuk diletakkan kesalahan itu.

Tetapi sebaliknya apabila kesalahan itu berpunca daripada kita sendiri, maka kita terpaksa mereka-reka alasan supaya kita tidak dipersalahkan. Apabila ‘terlalu bijak’, mereka-reka alasan, maka terjadilah pembohongan. Nampak mudah, bukan?

Bohong bermaksud memberitahu sesuatu yang tidak benar dan kita tahu bahawa hal itu tidak benar. Atau dengan kata lain, berdusta. Dari sudut pandangan Islam, sudah tentu hukumnya haram. Jika kita memberitahu orang sesuatu perkara yang kita sendiri tidak tahu bahawa hal itu tidak benar, perbuatan itu bukanlah bohong namanya.


Jangan Berbohong

Dari Ibnu Umar r.a. katanya: Saya dengar Rasulullah SAW bersabda, “Bagi tiap-tiap orang yang khianat (penipu) ada bendera yang dipancangkan tanda khianatnya di hari kiamat kelak..” (Hadis riwayat Bukhari)

Dalam sebuah riwayat diceritakan, telah datang kepada Rasulullah SAW, seorang lelaki meminta nasihat. Lelaki itu mengaku bahawa dia tidak dapat meninggalkan satu maksiat yang biasa dilakukannya, iaitu berzina. Mendengar pengakuan jujur lelaki ini Rasulullah SAW berwasiat kepadanya, “Hanya dengan satu perkara: ‘Laa Takzib! (Jangan berbohong!).’ Ternyata dengan menjaga untuk tetap melaksanakan nasihat Rasulullah SAW itu, lelaki ini dapat menghindari perbuatan maksiat yang susah ditinggalkannya kerana setiap kali dia ingin melakukan zina, dia akan ingat kepada nasihat baginda itu. “Bagaimana kalau saya ditanya oleh Rasulullah SAW? Jika saya menjawab: Tidak, bererti saya telah berbohong. Jika saya mengaku bererti saya wajib dihukum,” fikir lelaki tersebut sehingga telah berhenti dari berzina.”


Kalangan orang munafik

Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya, “Ada empat perkara, sesiapa yang melakukannya maka ia adalah seorang munafik tulen. Sesiapa yang melakukan satu daripada empat perkara itu, maka ia mempunyai salah satu daripada sifat munafik, hingga dia meninggalkannya. (Empat sifat itu ialah) apabila dipercayai ia khianat, apabila bercakap ia berdusta, apabila berjanji ia mungkir dan apabila bertengkar ia mengenepikan kebenaran. (Menegakkan benang basah).” (Hadis riwayat Ahmad)

Daripada hadis yang disebutkan di atas, dapat kita fahami bahawa pembohong dikategorikan sebagai seorang munafik dan tempat mereka dalam neraka paling bawah. Maka wajar jika Rasulullah SAW menyatakan bahawa berdusta atau berbohong itu termasuk dalam dosa besar.
Dalam hadis riwayat Abdullah Umar, Rasulullah SAW pernah menegaskan mengenai empat sifat orang munafik iaitu:

1.Apabila diamanahkan, dia mengkhianati amanah itu
2.Apabila bercakap, dia berbohong
3.Apabila berjanji, dia mungkiri
4.Apabila berkelahi, dia berlaku zalim atau melampau-lampau

Dalam hadis lain yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud, Rasulullah AW bersabda yang bermaksud, “Benar itu membawa kebaikan dan kebaikan tiu membawa ke syurga. Yang bercakap benar, akan ditulis benar, yang bohong akan mendorong seseorang itu kepada kejahatan. Kejahatan itu akan membawa seseorang ke neraka dan apabila orang itu bercakap bohong, maka dia akan ditulis sebagai seorang yang pembohong.”

Selain itu, hayati juga firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 36 yang bermaksud, “Jangan kamu mengikuti sesuatu kamu tidak tahu mengenainya. Pendengaran dan penglihatan serta hati – semua anggota itu akan tetap ditanya mengenai segala yang dilakukannya.”

Oleh itu, secara moralnya, jika kita tidak tahu sesuatu perkara dengan jelas atau tidak sahih akan kebenarannya, jangan pandai-pandai bercakap apa-apa, kerana kita berkemungkinan boleh dituduh berbohong.


Bohong yang dibolehkan

Walaupun pada prinsipnya, berbohong hukumnya haram, tetapi dalam keadaan tertentu, Islam memberikan kelonggaran. Namun, ia bukan dalam konteks yang terlalu ketat. Rasulullah SAW ada menyatakan, seseorang yang berbohong dengan niat ingin mendamaikan orang lain atau untuk tujuan kebaikan dalam masyarakat, dia tidak dikira berbohong. Dalam suatu riwayat, Ibnu Kalsum berkata, beliau tidak pernah mendengar Rasulullah SAW memberi kelonggaran untuk bercakap dalam hal yang tidak betul, kecuali dalam tiga perkara :

1. Ketika peperangan
2. Untuk mendamaikan anggota masyarakat atau organisasi yang bertelagah
3. Dalam perhubungan suami isteri

Dari Ummu Kalsum binti ‘Uqbah r.a., sesungguhnya ia mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Bukanlah termasuk pendusta orang yang mendamaikan manusia. Ditambahnya yang baik atau dikatakannya yang baik.” (Hadis riwayat Bukhari)

Umat Islam pada hari ini masih lagi terumbang-ambing, lemah, miskin dan berpecah belah meskipun Islam sesungguhnya amat menggalakkan perpaduan, kesatuan, persefahaman dan keharmonian dalam kehidupan sejagat. Dalam erti kata lain, Islam melarang umatnya bergaduh, berperang apalagi bertengkar sesama sendiri sehingga melibatkan perbuatan mencederakan, membunuh dan sebagainya. Inilah sebabnya mengapa Islam memuliakan seorang manusia yang berusaha untuk mendamaikan orang yang bertelagah meskipun terpaksa dilaksanakan dengan cara menipu (perkara yang harus) demi menjalinkan semula ikatan persaudaraan tersebut agar keadaan kembali menjadi aman dan damai.

Begitu juga untuk menjaga akidah, sekiranya seseorang dipaksa untuk mengucapkan sesuatu yang berlawanan dengan akidah, maka dia boleh berbohong. Namun, pembohongan itu dengan syarat, hatinya tetap dalam Islam. Hal ini mengingatkan kita kepada kisah yang menimpa Ammar Yassir yang terpaksa mengaku kembali menyembah berhala apabila dia diseksa teruk dan selepas melihat ibunya Sumayyah dan bapanya, mati ditikam Abu Jahal kerana mempertahankan akidah. Rasulullah SAW ketika ditanya mengenai kedudukan Ammar selepas itu, menyatakan bahawa Ammar tetap terpelihara akidahnya kerana dia dipaksa berbuat begitu dan hal itu di luar kerelaannya.

Berkata Imam an-Nawawi yang mengulas hadis ini, “Hadis ini dengan jelas telah mengharuskan beberapa bentuk pendustaan jika ada maslahah/kepentingan. Para ulama telah membuat batasan bagi pembohongan yang diharuskan. Batasan yang terbaik ialah yang dikemukakan oleh Imam al-Ghazali yang menjelaskan; percakapan ialah jalan untuk mencapai maksud-maksud tertentu. Jika suatu maksud yang baik dapat dicapai dengan berkata benar, tidak harus lagi berdusta kerana pendustaan tidak diperlukan ketika itu. Namun jika maksud yang baik itu tidak ada cara untuk mencapainya melainkan dengan berbohong, maka ketika itu berbohong adalah harus jika maksud yang ingin dicapai itu hukumnya adalah harus. Jika maksud itu wajib, maka berdusta ketika itu juga wajib (kerana tidak ada cara lain lagi untuk mencapainya) .

Contohnya ada seorang muslim bersembunyi dari seorang lelaki zalim dan kita mengetahui tempat persembunyiannya. Kemudian si zalim itu bertanya kita tempat lelaki muslim itu bersembunyi. Ketika itu wajib kita berbohong (yakni tidak harus kita bercakap benar dengan memberitahunya) . Contoh lain kita ada menyimpan barang milik seseorang muslim, lalu ditanya tentangnya oleh seorang zalim yang ingin merampasnya, maka wajib kita berdusta untuk menyembunyikannya (bagi mengelak ia dirampas). Malah kata Imam al-Ghazali, jika kita memberitahu si zalim itu dan barang itu dirampasnya, wajib kita menggantikannya.

Namun langkah yang lebih berhati-hati ialah dengan kita melakukan at-Tauriyah iaitu berselindung, yakni tidak secara direct berdusta/berbohong. Maksud at-Tauriyah ialah kita bercakap dengan bahasa yang zahirnya nampak macam berdusta, tetapi secara terselindung (yakni biat di hati) kita tidak berdusta. (Lihat; al-Azkar, Imam an-Nawawi, kitab Hifzul-Lisan. *Terjemahan dilakukan secara bebas).


Suami isteri berbohong

Berbohong antara suami isteri pula, hanya dalam keadaan tertentu sahaja, maksudnya dalam perkara yang tidak menyentuh prinsip. Umpamanya, suami memuji masakan isteri kerana ingin ambil hati isteri, sedangkan masakan isterinya tidak kena langsung dengan seleranya. Atau isteri puji suaminya kacak, walaupun hakikatnya suami tidak setampan mana. Tetapi asalkan dengan niat menjaga keharmonian rumahtangga dan eratkan hubungan suami isteri, hal itu dibenarkan.

Kelonggaran dalam berbohong diistilahkan terutamanya oleh orang Melayu sebagai ‘bohong sunat’. Hakikatnya, dalam Islam tiada istilah ‘bohong sunat’, yang ada hanya kelonggaran yang diharuskan dalam keadaan tertentu. Sekiranya dapat mengelak daripada bohong, hal itu lebih digalakkan. Justeru, kelonggaran yang diberi atau dibenarkan untuk berbohong harus digunakan secara tepat untuk menyelesaikan hal rumahtangga.

Namun sebenarnya ramai yang menggunakan kelonggaran ini untuk tujuan yang salah. Umpamanya suami berkahwin lain tanpa pengetahuan isteri dan mengambil pendekatan ‘bohong sunat’, kononnya supaya mereka suami isteri tidak bertelagah.


Berbohong satu pengkhianatan

Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya, “Jika kamu bercakap dengan saudaramu percakapan yang ia mempercayainya, sedangkan kamu membohonginya, sesungguhnya perbuatan ini merupakan pengkhianatan besar.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Berbohong ialah menyampaikan sesuatu yang tidak sesuai dengan keadaan sebenarnya. Gejala pembohongan adalah amat keji dan sangat dibenci apalagi yang dibohongi itu adalah orang ramai, maka sudah tentu bahaya dan dosanya lebih berat. Oleh itu Islam menganggap perbuatan berbohong atau berdusta adalah satu perbuatan munafik. Selaku ibu bapa adalah tidak wajar untuk membohongi anak-anak dengan alasan untuk memujuk mereka atau menahan mereka daripada sesuatu kemarahan. Hal ini kerana ia akan menghilangkan kepercayaan anak-anak terhadap ibu bapa menjadikan segala nasihat dan tunjuk ajar yang diberikan tidak berkesan.


Jangan dibudayakan

Dalam konteks hubungan majikan atau ketua denga para pekerja, bohong boleh berlaku jika majikan tidak menjelaskan hal sebenarnya mengenai pentadbiran syarikat yang merosot. Tetapi jika majikan berbuat demikian kerana tidak mahu para pekerja bimbang dan pada masa yang sama ingin mencari jalan untuk membaiki keadaan, hal itu dianggap satu kelonggaran.

Namun sekiranya keadaan gagal dikendalikan, tidak wajar majikan atau ketua terus berbohong dan menyembunyikan hal sebenar keran itu seperti menganiaya pekerja.

Tidak kurang juga yang sering berlaku dalam organisasi, perbalahan sesama pekerja yang mungkin akan membawa mudarat jika tidak ditangani dengan segera. Justeru, jika pembohongan tertentu dapat menyelamatkan keadaan dan mewujudkan keharmonian sesama pekerja, ia dibolehkan.

Namun, bohong jangan dibudayakan kerana ia lambat-laun akan merosakkan keharmonian dan boleh meruntuhkan masyarakat. Walaupun ada kelonggaran berbohong, jika boleh dielakkan, adalah lebih baik dielakkan!

"JOM Seiring Sejalan"


No comments:

Post a Comment

Terima Kasih di atas COMMENT anda, sila singgah lagi ye....

 

Popular Posts